Berita Tentang Penyakit












Kolesterol tidak mengira saiz badan



MAZUIN Kamarulzaman ketika bercakap mengenai paras kolesterol.


APABILA bercerita mengenai kolesterol,
 biasanya hanya mereka yang berbadan gemuk atau berisi dikatakan akan berdepan dengan masalah ini.
Bagaimanapun tanggapan itu sebenarnya memang salah.
Kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah tidak bergantung kepada saiz badan seseorang.
Jadi tidak pelik jika seorang yang kurus mempunyai paras kolesterol yang tinggi.
Pakar Diet Hospital Pusrawi, Mazuin Kamarulzaman berkata, kolesterol tidak boleh dilihat dengan mata kasar kerana ia berada dalam saluran darah.
''Hanya melalui profil lipid yang menerusi ujian darah yang merangkumi jumlah kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL), Kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan trigliserida dapat mendapatkan jumlah sebenar kolesterol dalam tubuh," katanya.
Katanya, sebaik-baiknya kandungan kolesterol dalam badan seseorang dewasa itu perlu di bawah 5.2 mmol/L.
''Kolesterol pula terbahagi kepada dua iaitu kolesterol jahat yang merujuk kepada LDL dan kolesterol baik pula HDL,'' katanya.
Katanya, kolesterol jahat iaitu LDL akan membuatkan pembuluh darah tersumbat manakala HDL akan membawa kolesterol ke pembuluh darah untuk dibawa ke hati dan seterusnya akan dikeluarkan dari tubuh.
Sehubungan itu katanya, seseorang itu perlu menjaga tahap kolesterol di dalam darah supaya berada keadaan terkawal.
Mazuin memberitahu, ini penting kerana kolesterol tinggi akan menyebabkan seseorang itu diserang penyakit jantung atau strok yang merupakan antara pembunuh utama kepada rakyat negara ini.
Jelas Mazuin, lebih baik jika menjaga pemakanan setiap hari supaya tahap kolesterol tidak merbahayakan kesihatan.
"Jauhi makanan yang mengandungi lemak tepu seperti daging, produk tenusu, santan, minyak kelapa sawit, ais krim, coklat dan susu pekat manis kerana ia boleh meningkatkan paras kolesterol jahat (LDL)," katanya.
Mazuin menambah, elakkan juga makanan yang mengandungi lemak trans (lemak terhidrogen) yang terkandung dalam makanan komersial tersedia seperti kek, biskut, snek, mentega kacang dan makanan berproses seperti sosej, pai, nugget, burger dan donut yang mengandungi kolesterol jahat (HDL).
Katanya, hadkan pengambilan makanan itu kerana ia akan merendahkan kolesterol baik (HDL).
"Makanan yang mengandungi lemak tak tepu pula dapat mengurangkan risiko serangan jantung kerana mengandungi anti-oksida dan tidak akan meningkatkan paras kolesterol jahat (LDL),'' katanya.
Bagaimanapun katanya, jika diambil dalam jumlah berlebihan akan meningkatkan berat badan seseorang.
Jelas Mazuin antara makanan itu terdiri daripada jenis minyak seperti zaitun, bijan, kacang, jagung, kanola manakala ikan dari jenis salmon, tuna, mackerel, cencaru, tongkol, tenggiri, selain bijian, kekacang dan marjerin tidak tepu (soft).
Bagi mengelakkan penggunaan lemak yang berlebihan kata beliau, sebaiknya gunakan minyak kelapa sawit untuk menggoreng dalam jumlah yang banyak seperti goreng ikan.
''Gunakan minyak jenis lemak tak tepu jika ingin memasak dengan minyak yang sedikit seperti mengoreng sayur dan sebagainya,'' katanya.
Selain itu, katanya elakkan menggunakan menggunakan minyak berulang-kali terutama apabila ia adalah minyak lemak tak tepu.
''Toskan dan keringkan minyak daripada makanan bergoreng dengan menggunakan tisu dapur sebelum dihidangkan,'' katanya.
Mazuin memberitahu, elakkan juga penggunaan bahan mencelup tepung kerana ia akan menyerap lebih banyak minyak.
Sebaiknya pelbagaikan teknik masakan dalam seminggu iaitu mengukus, membakar, merebu dan sebagainya dan gunakan kuali tidak melekat.
Selain itu, gantikan masakan yang menggunakan santan dengan susu rendah lemak.




Apendiks ibarat bom jangka


Apendiks yang telah dibuang.


JANGAN salahkan keturunan, gaya hidup mahupun apa yang dimakan apabila tiba-tiba anda didiagnosis dengan penyakit apendiks.
Menurut Pakar Bedah Am, Pusat Perubatan Taman Desa, Kuala Lumpur, Dr. Peh Kiam Heng, penyakit tersebut ibarat bom jangka yang boleh berlaku pada sesiapa sahaja, tanpa mengira gaya hidup atau apa jua faktor lain.
Jelas beliau, ia sebenarnya bermula dari bahagian abdomen atau perut.
"Bila kita makan, makanan akan masuk ke salur pemakanan dari perut ke usus kecil dan akan ke usus besar.
"Makanan yang kita kunyah akan dihadam, kemudian dicerna dengan sebaiknya oleh organ penghadaman.
"Makanan tersebut akan bertukar menjadi bentuk serbuk dan usus besar menyerap air. Apabila menjadi bentuk ini, ia senang masuk dan sekali gus menyumbat satu ruangan kecil yang diberi nama apendiks," jelasnya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.
Menurut beliau, apendiks kalau tersumbat pasti menyebabkan perjalanan dan bekalan darah seseorang terganggu.
Apabila terganggu, mudah jangkitan berlaku menyebabkan apendiks tersebut membengkak dan menimbulkan kesakitan.
"Apabila bercakap tentang penyakit apendiks, kita sering mencari punca mengapa boleh terkena penyakit ini. Sebenarnya, bukanlah disebabkan tabiat pemakanan, atau genetik.
"Sesiapa yang mengalaminya boleh dikategorikan sebagai kurang bernasib baik kerana apendiks bukanlah disebabkan anda seorang pemakan cili padi tegar atau bagi masyarakat Cina tabiat terus berlari lepas makan.
"Kesemuanya tidak ada kena mengena. Tiada kajian yang membuktikan perkara tersebut puncanya. Ia memang ibarat bom jangka," jelasnya.
Beliau menjelaskan, salah satu simptom sakit apendiks adalah kesakitan pada bahagian sebelah kanan bawah pusat hingga kadang kala menyebabkan pesakit demam, rasa memulas, loya dan muntah-muntah.
Namun, ada juga simptom yang tidak klasikal, contohnya perut rasa tidak selesa selepas makan dan berlanjutan hingga berhari-hari.
"Ada juga yang terasa kelainan di dalam perut. Namun, pesakit tidak pasti sakit di bahagian mana.
"Kalau kes yang sebegini, kita akan tahan pesakit di wad untuk pantau keadaan seterusnya.
"Cara diagnosis apendiks adalah mengikut prosedur klinikal sepenuhnya yang mana ia bergantung pada pengalaman doktor memeriksa keadaan pesakit dan ujian darah.
"Bila pesakit disyaki menghidap apendiks, biasanya langkah pertama kita akan ambil darah untuk melihat sama ada sel darah putihnya meningkat atau sebaliknya.
"Selepas itu barulah kita ambil sampel air kencing.
"Memang ada pesakit yang akan bertanya kenapa perlu ambil air kencing. Prosedur ini perlu dilakukan untuk mengenal pasti penyakit secara tepat kerana penyakit kencing kotor juga mempunyai simptom yang sama.
"Jadi untuk mengelakkan salah diagnosis dan rawatan sebaiknya, ujian dijalankan terlebih dahulu," ujarnya.
Sepanjang bergelar pakar, Dr. Peh mengakui perubahan corak pesakit yang dirujuk kepadanya.
"Pesakit zaman ini ramai yang berpendidikan tinggi, mereka rajin mencari maklumat tentang penyakit di Internet.
"Seperkara lagi, mereka memang sangat prihatin dengan tahap kesihatan diri masing-masing. Kebanyakan pesakit saya di hospital swasta ini selalunya sudah dirawat di peringkat awal.
"Berbeza dengan kebanyakan kes yang saya terima ketika berkhidmat di hospital kerajaan dulu ada di antara kes yang apendiksnya pecah dan terpaksa dirawat di ICU," katanya.
Beliau juga meminta pesakit apendiks agar tidak takut dengan pembedahan.
"Prosedurnya seperti pembedahan konvensional lain. Namun, kini terdapat cara moden iaitu laparoskopi iaitu potongan kecil dilakukan untuk kamera, manakala dua lubang lagi untuk peralatan umpama guna penyepit untuk menyingkirkan apendiks.
"Selepas pembedahan, pesakit biasanya tinggal di wad selama tiga hari," jelasnya.


Stigma individu ODHA



SEBENARNYA, tiada siapa yang boleh menganggap bahawa dirinya selamat daripada dijangkiti virus HIV/AIDS kerana ruang lingkung penyakit ini berada di sekeliling kita.
Ia boleh berlaku kepada sesiapa jua dalam masyarakat biarpun mereka mengamalkan gaya hidup sihat dan aktiviti seksual yang selamat.
Mungkin pada peringkat awal Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA) diberikan gambaran kurang tepat seperti kelihatan kurus kering, berpenyakit dan terlantar. Tetapi kini percayalah, ODHA itu sebenarnya seperti kita, mengamalkan kehidupan sama sebagaimana kita, tiada bezanya.
Baru-baru ini, penulis dipertemukan dengan seorang ibu tunggal, seorang ODHA, berumur 47 tahun dan mempunyai empat orang anak.
Jika tidak diberitahu, pastinya tidak siapa yang menyangka wanita yang berperawakan lembut, berwajah manis ini merupakan ODHA.
''Saya dapat tahu mendapat virus ini setelah beberapa tahun berpisah dengan suami kedua setelah berkahwin semula pada tahun 1995.
''Kami hidup bersama tidak sampai setahun pun kerana suami saya seorang penagih dadah. Justeru, saya meneruskan kehidupan bersama empat anak saya daripada perkahwinan terdahulu," katanya.
Lena (bukan nama sebenar) hanya membuat ujian darah setelah tiga tahun bercerai dengan suami kedua setelah disaran oleh rakan yang merupakan seorang sukarelawan di Majlis AIDS Malaysia.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Lena melakukan ujian itu sementelah mengetahui bekas suaminya merupakan seorang penagih tegar yang berkongsi jarum, tambahan kesihatannya sering merosot.
''Saat diberitahu saya merupakan ODHA, saya pasrah dengan ketentuan Tuhan. Saya hanya berdoa agar dipanjangkan umur kerana ketika itu anak-anak saya masih kecil.
''Biarpun menderita dengan tahap kesihatan yang semakin teruk, badan semakin kurus, batuk berpanjangan dan lemah, saya terus bekerja semata-mata untuk menyara anak-anak," katanya.
Tambah Lena, ketika itu tidak ramai yang mengetahui dia menghidap HIV/AIDS dan penyakitnya hanya terbongkar pada tahun 2005 apabila dia dirawat di hospital kerana penyakit Tibi.
Akibatnya rakan-rakan yang mengetahui dia menghidap HIV/AIDS mula menjauhkan diri.
Apabila ditanya mengenai pandangan anak-anak terhadapnya, Lena berkata, anak-anak mengetahui dia sakit akibat HIV/AIDS, namun mereka menganggap ia umpama sakit biasa.
''Saya bersyukur kerana mempunyai anak-anak yang memahami dan menyayangi saya. Biarpun mereka sebenarnya mengalami saat-saat duka di sekolah, namun tidak pernah menceritakan permasalahan mereka agar saya tidak susah hati.
''Apa yang saya ingin kongsi di sini ialah bagaimana rakan-rakan sepejabat yang tidak mahu saya bekerja di situ lagi sehingga berusaha meminta surat daripada doktor agar saya tidak lagi boleh bertugas di premis itu," jelasnya tenang.
Namun, semua itu tidak mematahkan semangat Lena. Dia terus bekerja untuk tempoh setahun sebelum menerima tawaran di Majlis AIDS Malaysia sebagai salah seorang sukarelawan.
Lena pernah bersiaran secara langsung dalam salah satu rancangan televisyen menceritakan pengalamannya sebagai ODHA .
Penampilannya secara sukarela memberi ceramah menyebabkan hampir semua yang mengenalinya mengetahui mengenai virus yang berada dalam badannya sekarang.
''Saya rasa lebih yakin apabila berkorban seperti itu. Saya berfikir sampai bila saya akan terus menyimpan rahsia ini.
"Biarlah semua orang tahu kerana sebenarnya hidup sebagai ODHA memerlukan sokongan daripada masyarakat," katanya.
Dalam pada itu, Lena memohon agar lebih banyak doktor pakar HIV/AIDS bertugas di negara ini.
Apabila itu berlaku, sudah pasti stigma terhadap golongan ODHA ini dapat dikurangkan.
Katanya, setakat ini, hanya terdapat 25 doktor pakar HIV/AIDS yang memberikan rawatan seterusnya memberikan sokongan dan bantuan secara spritual.
''Sukar hendak menerangkan penyakit yang kita ada walaupun kepada doktor sekiranya dia juga tidak memahami mengenai isu dan permasalahan yang dihadapi ODHA ini.
''Adakalanya doktor-doktor biasa juga seolah-olah 'mengenepikan' ODHA sedangkan mereka juga tahu penyakit ini tidak mudah berjangkit sekiranya bukan sebab-sebab tertentu seperti mengadakan seks rambang contohnya.
''Sedangkan kami sebagai ODHA berharap dengan pihak seperti inilah yang dapat memberikan sedikit sebanyak bimbingan, kata-kata nasihat, memberi sokongan dan merawat kami dengan sepenuhnya tanpa ada perasaan berbelah bahagi.
''Justeru, dengan program-program seperti penglibatan para pelajar perubatan seperti Program Ia Bermula Dengan Anda ini diharap para pelajar yang akan tampil sebagai doktor nanti menjadi lebih berani 'merawat' ODHA," katanya.
Kini, setelah hampir 11 tahun berlalu, Lena terus hidup dengan segala harapan yang ada bersama anak-anak yang semakin membesar. Anaknya yang sulung merupakan lulusan universiti dan sudah bekerja. Yang kedua masih di kolej dan dua lagi masih bersekolah menengah.